Nasi Kerabu Kuah Tumis

Seperti yang semua tahu, nasi kerabu merupakan makanan kegemaran saya. Memang tak sah kalau datang Kelantan tak singgah makan nasi kerabu. Dalam episod terakhir Mat Salleh Cari Makan Kelantan, saya sempat untuk singgah ke sebuah kedai Nasi Kerabu yang popular di sekitar Kota Bahru Kelantan.

Nasi kerabu memang digemari orang masyarakat tempatan. Kalau di episod Mat Salleh Cari Makan Pantai Timur, saya sudah belajar macam mana nak buat nasi kerabu dari awal hingga akhir proses. Kali ini, saya akan belajar cara-cara untuk membuat kuah tumis nasi kerabu pula.

Memang sedap nasi kerabu di makan bersama kuah tumis, tambahan pula dengan lauk-pauk yang lain seperti kambing bakar, solok lada, jeruk bawang putih dan telur masin. Pada yang belum cuba makan nasi kerabu bersama kuah tumis, saya cadang untuk datang ke Lieniey Nasi Kerabu dan rasa sendiri kesedapan nya!

📍Lokasi » Lieniey Nasi Kerabu Tumis
Jalan Abdul Kadir Adabi, 15200 Kota Bharu, Kelantan
https://goo.gl/maps/z3YWPY1wp4x5twUe7

☎ 013-9503539

⏰ Waktu Operasi » Setiap hari dari 7.30 pagi hingga 2.00 petang

Laksam Kegemaran Neelofa!?

Mat Salleh Cari Makan Kelantan kembali lagi dan dalam episod ini saya akan mempelajari tentang makanan yang merupakan salah satu makanan popular di negeri Kelantan ini iaitu Laksam.

Laksam merupakan sejenis makanan yang diperbuat dari tepung beras dan dimakan bersama kuah campuran ikan dan santan. Proses untuk membuat laksam juga unik dimana bancuhan tepung beras tadi diletakkan didalam penutup periuk dan dikukus sehingga masak. Selepas ia mengeras, laksam digulung panjang dan akhirnya dipotong serong untuk dihidangkan.

Kebiasaannya laksam dimakan bersama ulam-ulaman seperti taugeh, kobis, timun dan dicampurkan dengan sedikit sambal. Rasa pekat kuah bersantan bersama sayur ulam yang segar membuatkan laksam mempunyai rasa yang unik dan tersendiri.

Laksam sesuai dihidangkan untuk sarapan pagi dan juga minum petang. Tak sah kalau ke Kelantan tapi tak singgah pekena laksam!

📍Lokasi » Laksam Special By-T
Jalan Raja Perempuan Zainab II, Kampung Belukar Lanjut Kumumin, 16100 Kota Bharu, Kelantan
https://goo.gl/maps/rHsdmzuDia5NCsVe6

☎ 013-9809343

⏰ Waktu Operasi » Ahad – Jumaat dari 3.00 petang hingga 10.30 malam (Tutup Sabtu)

Ikan Bekok Kak Pah, Macam Ikan Masin Tapi Bukan..

Mat Salleh Cari Makan Kelantan kini berada di Kedai Makan Ike Bekok Kak Pah dan Abe La untuk belajar cara pembuatan Ike Bekok yang merupakan makanan tradisi orang kampung di Tumpat, Kelantan.

Ike Bekok atau Ikan Bengkak merupakan pembuka selera makanan dalam kalangan masyarakat Kelantan dan makanan ini sudah popular sejak dahulu lagi! Proses untuk membuat ike bekok ni mengambil masa yang lama dari menyiang, direndam dalam air garam sehinggalah dijemur seharian.

Ada beberapa jenis ikan yang boleh digunakan untuk membuat ike bekok seperti ikan gelama, ikan kekek dan ikan cencaru.Ike bekok akan digoreng panas-panas dan terus dihidang bersama nasi putih panas. Boleh dimakan begitu saja ataupun dicicah bersama budu dan ulam-ulaman.

Memang terbaik! Jangan lupa singgah kalau berada berdekatan dengan Kedai Makan Ike Bekok Kak Pah Abe Lah. Confirm puas hati!

📍Lokasi » Kedai Makan Ike Bekok Kak Pah Abe Lah
Jalan Pantai Geting, 16200 Tumpat Kelantan
https://goo.gl/maps/kN3su2AniNmsm9FU8

☎ 019-9545426

⏰ Waktu Operasi » Rabu – Isnin dari 8.00 pagi hingga 2.30 petang (Tutup Selasa)